Tuesday, December 2, 2008

Idealis Heerman

Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my

Ada karisma tersendiri dalam diri Mohd Heerman Haminnuddin. Pada usia 27 tahun, beliau menggalas portfolio besar dalam syarikat yang dibangunkan ayah

SUKAR juga mengatur temu janji dengan personaliti XY - Ikon Lelaki minggu ini. Maklumlah, faktor jarak ratusan kilometer antara Kuala Lumpur dan Sungai Petani, Kedah, selain kesibukan di pejabat beberapa kali menghalang niat bersemuka.

Apabila bertemu akhirnya, nyata karisma Mohd Heerman terserlah. Menduduki kerusi Pengurus Jualan & Pemasaran Ideal Healthcare Sdn Bhd, personaliti ini tampak serius dalam melaksanakan tugas. Baginya, usia 20-an bukan penghalang menggalas cabaran besar dalam dunia perniagaan.


"Kepercayaan keluarga mendorong saya bekerja lebih kuat demi membuktikan kemampuan dan minat saya dalam perniagaan.


"Bukan mudah meyakinkan pelanggan, apatah lagi pada usia saya yang masih muda," akui Mohd Heerman jujur.

Sebagai pihak yang bertanggungjawab mencari pasaran baru dan membekalkan peralatan perubatan ke hospital dan farmasi di seluruh negara, Mohd Heerman mengakui ada cabaran yang perlu diredahnya.

Mengulas detik awal menceburi bidang itu, Mohd Heerman berkata, beliau bertuah kerana diberi kepercayaan keluarga sejak 2002.

Ideal Healthcare Sdn Bhd yang ditubuhkan pada 1999 bertanggungjawab membangunkan peralatan perubatan komersial selain membawa masuk produk sama untuk diagihkan ke hospital dan farmasi di dalam dan luar negara.

Kata Mohd Heerman, bermula daripada perusahaan kecil, syarikat milik keluarganya kini mampu berdaya saing dengan syarikat lain. Malah Ideal Healthcare juga diberi kepercayaan menembusi pasaran Indonesia dan rantau Asean kerana mutu perkhidmatan yang ditawarkan.

"Ketika kegawatan ekonomi pada lewat 1990-an, prospek dalam bidang perubatan nyata memberi lonjakan pasaran kerana bidang ini sendiri mempunyai skop permintaan besar di pasaran.

"Alhamdulillah, selepas melalui perit getir dalam dunia perniagaan, Ideal Healthcare muncul sebagai syarikat Bumiputera yang berdaya saing di Malaysiai," katanya.

Bersama anak muda kelahiran Sungai Petani, Kedah ini, XY - Ikon Lelaki berpeluang berkongsi rahsia diri, cita-cita serta misinya yang layak dijadikan contoh anak Melayu baru.

Ceritakan serba sedikit latar belakang Mohd Heerman?
Saya bermula dalam bidang perniagaan pada 2002. Ini adalah kerjaya pertama selepas menamatkan tamat pengajian. Saya tidak terus menduduki jawatan pengurus, sebaliknya hanya sebagai eksekutif jualan tanpa layanan eksklusif. Menjadi cabaran saya untuk membuktikan kepada keluarga dan pelanggan kemampuan saya. perniagaan.

Bagaimana anda boleh terbabit dalam perusahaan peralatan perubatan?
Bapa saya sebelum ini memang terbabit dalam dunia perubatan dan beliau melihat prospek baik dalam sektor ini. Nyata percaturannya berbaloi dengan penerimaan produk Ideal Healthcare Sdn Bhd.

Bagaimana dengan potensi pasaran peralatan perubatan di Malaysia terutama syarikat bumiputera?
Potensinya cukup besar kerana kami bukan saja menghasilkan alat untuk perubatan, sebaliknya mengimport mesin dan peralatan perubatan untuk dipasarkan di Malaysia dan luar negara. Pada mulanya, hanya di pasaran tempatan tetapi sekarang 10 peratus daripada perolehan syarikat disumbangkan sektor pasaran eksport Indonesia. Kami juga mempunyai cawangan di Indonesia.

Cabaran selaku ahli perniagaan pada usia muda?
Memang sukar meyakinkan pelanggan kerana saya masih muda. Ketika mula-mula bekerja dulu, ada yang memandang rendah kemampuan dan kredibiliti diri tetapi itu semua cabaran yang harus saya lalui. Sekarang, sudahpun terbukti.

Senario perniagaan berteraskan ubat-ubatan di Malaysia?
Boleh saya katakan sektor ini begitu asing di kalangan usahawan bumiputera. Seperti Ideal Healthcare Sdn Bhd ketika mula bertapak dulu. Tetapi kini penerimaan pelanggan dan masyarakat terhadap produk kami amat menggalakkan. Apatah lagi, kami melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sendiri termasuk meningkatkan kualiti pembungkusan untuk kepuasan pelanggan.

Melihat pembabitan Mohd Heerman dalam sektor perubatan, adakah anda sendiri mengutamakan pemakanan sihat?
Sudah tentu saya mementingkan tahap kesihatan baik. Apatah lagi, tugas berat yang dilakukan dan bekerja lebih masa, memaksa saya peka dengan soal kesihatan. Sehubungan itu, saya memilih mengambil vitamin C setiap hari.

Beralih kepada kehidupan peribadi, terangkan pula personaliti Mohd Heerman?
Saya seorang yang easy going. Mudah untuk didekati dan suka berjalan.

Adakah Mohd Heerman mementingkan kesempurnaan?
Tiada yang sempurna dalam kehidupan kita. Seperti dalam pekerjaan, jika kita melakukan kesalahan, kita tidak harus meletakkan kesalahan terus. Sebaliknya, harus memperbaiki kesilapan. Tetapi usahlah pula mengulangi kesalahan sama.

Bagaimana pula dengan rutin bergaya. Terangkan fesyen kegemaran Mohd Heerman?
Saya lebih selesa bergaya sederhana. Kata orang, sekadar sedap mata memandang. Mengenai cita rasa jenama mungkin saya memilih yang mengikut kehendak dan cita rasa.

Pandangan Mohd Heerman mengenai gaya hidup lelaki di Malaysia masa kini?
Saya melihat yang lelaki Malaysia semakin open minded, berkebolehan dan berpandangan jauh. Kehidupan dan gaya hidup kita sudah jauh ke depan.

Waktu bila agaknya sesuai bagi seorang lelaki mendirikan rumah tangga?
Pada pendapat saya, mungkin pada usia 28 tahun hingga 32 tahun, Pada ketika itu, kedudukan kewangan sudah kukuh, matang dan bersedia untuk memikul tanggungjawab besar sebagai ketua keluarga.

Ciri-ciri wanita pilihan Mohd Heerman?
Kecil molek, cantik fizikal dan peribadi dan kelakar (tergelak). Tetapi saya akui tiada yang sempurna yang penting adalah kejujuran dirinya.

Seksi mengikut pandangan Mohd Heerman?
Terlalu subjektif, mungkin cara seseorang itu bercakap sudah terserlah aura seksinya.

Aktiviti masa lapang?
Main golf. Saya sendiri tidak sangka bagaimana boleh meminati aktiviti golf tetapi selepas berjinak-jinak dan mengenali mereka dalam kelompok ini, akhirnya saya temui kepuasan. Walaupun belanja besar tetapi keseronokan sukar digambarkan. Selain itu, saya juga gemar melayari internet dan bertemu rakan-rakan untuk melepak bersama.

Perancangan 2009?
Semestinya dari aspek kerjaya untuk memajukan syarikat dan kemampuan diri melebihi tahun ini.

Biodata: Mohd Heerman
Umur:
27 tahun
Tarikh lahir:
9 Mac 1981
Tempat lahir: Sungai Petani, Kedah

Tinggi: 175 sentimeter
Berat: 80 kilogram

No comments: