Friday, October 3, 2008

Karisma: Haminnuddin tak mudah mengalah (Harian Metro)


Oleh BADRILA JAMLUS jbad@hmetro.com.my

Teruskan perniagaan produk kesihatan walaupun pernah rugi melihat kilang Ideal Healthcare Sdn Bhd (IHSB) yang hari ini tersergam megah di Sungai Petani, Kedah, mungkin tidak ramai tahu betapa syarikat itu sebenarnya bermula dengan operasi berskala kecil hanya di belakang rumah, kira-kira sembilan tahun lalu.

Bagi pengasas IHSB, Dr Haminnuddin Abd Hamid, 55, hanya kesungguhan dan sikap tidak mengenal erti putus asa membolehkan dia memacu IHSB ke tahap hari ini selaku peneraju produk kesihatan pakai buang dan peralatan kesihatan di negara ini, malah dieksport ke 12 negara termasuk Asia Barat dan Afrika Selatan.

Selain itu, pengalaman selama 25 tahun berkhidmat dengan dua syarikat multinasional dalam bidang produk perubatan iaitu Rusch Asia Pasific, Jerman dan Baxter Healthcare, Amerika Syarikat turut menjadi aset berharga yang dimanfaatkan sepenuhnya oleh Haminnuddin.“Selepas puas mengumpul pengalaman, saya memberanikan diri membuka perniagaan sendiri pada 1996. Bagaimanapun, ketika memulakan perniagaan menerusi penubuhan Mutiara Medical dengan perniagaan produk kesihatan, krisis ekonomi tiba-tiba melanda.“Kenaikan nilai tukaran mata wang asing, khususnya dolar Amerika, menyebabkan syarikat saya rugi kerana kebanyakan produk kesihatan diimport dari luar negara.“

Namun saya tidak mengalah. Berbekalkan modal sendiri sebanyak RM300,000, saya menubuhkan pula Ideal Healthcare Sdn Bhd (IHSB) pada 1999 untuk mengeluarkan sendiri produk kesihatan,” katanya.Haminnuddin berkata, IHSB memulakan operasinya dari belakang rumah bersama isteri dan anaknya di Sungai Petani dengan mengeluarkan hanya tiga produk dan dibantu 18 kakitangan.Kebanyakan produk dihasilkan juga berasaskan pengalaman Haminnuddin ketika berkhidmat dengan syarikat multinasional sebelum itu.

Sepanjang tempoh tiga tahun pertama adalah cabaran besar buat Haminnuddin yang terpaksa bekerja keras memasarkan produk dan meyakinkan pelanggan terhadap kualiti produk keluarannya, apatah lagi belum ada syarikat tempatan mengeluarkan produk perubatan seperti dihasilkannya, kecuali yang diimport.Namun, anak kelahiran Kajang, Selangor ini terus berjuang dan tanpa sokongan mana-mana pihak, beliau terus meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatannya ke peringkat lebih tinggi.Kesungguhannya berbaloi apabila berjaya mendapatkan sijil pengiktirafan antarabangsa, termasuk ISO 9001:2000, ISO 14001:2004 dan status piawaian Eropah (CE) untuk produknya.

Dengan sijil pengiktirafan antarabangsa, produk IHSB mula menerima sambutan dan pada 2005, baru beliau mula mendapatkan bantuan meningkatkan perniagaan bagi menampung permintaan yang semakin bertambah.IHSB mengkhusus dalam pengeluaran produk urologi, anasthesia dan pernafasan, tetapi juga membekal peralatan makmal, pembedahan dan peralatan pergigian.Kini jenama Idealcare bukan saja peneraju dalam pasaran produk kesihatan pakai buang dan peralatan kesihatan di negara ini, malah dieksport ke 12 negara di rantau Asean, Asia Barat dan Afrika Selatan dengan jualan tahunan kira-kira RM45 juta.Haminnuddin kemudian mengemukakan cadangan kepada SME Bank (ketika itu Bank Pembangunan) untuk mendapatkan pinjaman RM2.8 juta di bawah program usahawan Kementerian Pembangunan Usahawan bagi memperbesarkan operasi dan membuka sebuah lagi kilang di kawasan Kompleks Kilang Bimbingan, Sungai Petani.Berikutan prestasi perniagaannya yang memberangsangkan dan berpotensi, pinjaman itu diluluskan, sekali gus memberi galakan besar baginya untuk mengembangkan lagi perniagaannya.

“Tahun 2005 boleh dianggap titik peralihan buat perniagaan saya, yang mana IHSB berjaya mendapat kontrak membekalkan produk kepada Kementerian Kesihatan yang bernilai RM12.5 juta.“Dengan kontrak pertama daripada kerajaan itu, kami boleh menumpukan perhatian terhadap usaha mengembangkan pasaran.“Pasaran eksport pertama kami ialah ke Indonesia dan disusuli beberapa negara, dan sehingga kini mencecah hampir 14 negara di rantau Asia, Asia Barat dan Afrika Selatan,” katanya sambil menambah, kontrak kerajaan yang dimiliki anak syarikat IHSB kini bernilai RM27 juta setahun.

Haminnuddin yang juga Naib Presiden Pertubuhan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) Kedah dan Perlis berkata, setiap kejayaan yang dicapai sekarang bukan perkara mudah kerana hampir dua tahun beliau terpaksa bekerja keras memasarkan produk keluaran syarikat.Beliau berkata, ketika mula mengusahakan pengeluaran produk perubatan pakai buang dan peralatan kesihatan, syarikatnya, IHSB yang ditubuhkan pada 1999, menggunakan jenama ‘Mutiara’ yang dipilih berdasarkan nama syarikat pertamanya, Mutiara Medical Enterprise.Ketika itu sukar baginya menembusi pasaran, walaupun produk yang dihasilkan setanding daripada segi kualiti dengan produk import yang menguasai sepenuhnya pasaran bekalan produk kesihatan.Beliau kemudian memutuskan menukar jenama kerana ‘Mutiara’ mungkin kurang sesuai dan tidak menggambarkan jenis produk.Pencarian jenama sesuai untuk produk syarikatnya membawa Dr Haminnuddin hingga ke Eropah dengan membeli jenama ‘Ideal’ daripada sebuah syarikat di Jerman pada harga AS40,000 (RM138,000).

Namun, jenama itu tidak dapat didaftarkan di negara ini kerana ada syarikat lain mendaftarkannya dan ia memaksa beliau memikirkan jenama terbaik yang lain.“Maka, lahirlah jenama ‘Idealcare’ yang juga singkatan gabungan nama syarikat barunya, iaitu Ideal Healthcare,” katanya.IHSB yang berpangkalan di Sungai Petani, Kedah kini berkembang sebagai sebuah kumpulan dengan tiga anak syarikat, Ideal Healthcare Manufacturing Sdn Bhd, Mutiara Medical Enterprise serta Indonesia CV Harizka yang mengendalikan kilang di republik itu.Kumpulan dengan 135 kakitangan itu kini boleh berbangga mengeluarkan 43 jenis produk, termasuk kerusi roda, ‘Blood Pressure Sphygmomanometers’ dan ‘Stethoscopes’ yang sebahagian besarnya dibekalkan ke hospital kerajaan.

Kejayaan cemerlangnya menyebabkan beliau terpilih sebagai seorang daripada 19 pemenang Tokoh Usahawan Cemerlang Anugerah Keusahawanan Asia Pasifik 2007 (APEA2007) yang disampaikan Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, tahun lalu.Berdikari sejak berusia tiga tahun“SEJAK kecil saya diajar berdikari, bermula dari sekolah rendah hinggalah ke sekolah menengah, dan arwah datuk serta nenek saya paling banyak memberi dorongan serta semangat untuk berjaya sehingga hari ini,” kata Haminnuddin menceritakan pengalaman hidupnya yang membesar di kalangan tujuh beradik.

Ayahnya anggota tentera yang sering berpindah-randah manakala ibunya terbabit dengan aktiviti politik, menyebabkan beliau lebih selesa tinggal bersama datuk dan neneknya di Kajang.Sejak kecil, beliau didedahkan dengan kerja sukar seperti membantu datuknya menoreh getah seawal jam 4 pagi, selain membantu mengerjakan sawah padi ketika cuti sekolah.Anak kedua daripada tujuh beradik itu boleh dianggap cemerlang dalam pelajaran sejak kecil, sekali gus melayakkannya mendapat bantuan biasiswa dari kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan sepanjang tempoh menuntut di sekolah menengah.

Siapa sangka, Haminnuddin yang kini mencecah usia 55 tahun pernah mewakili sekolah dalam 17 jenis sukan, antaranya bola sepak, hoki dan olahraga.Malah, rekod lumba lari berpagar 110 meter yang dicatat 37 tahun lalu dengan kepantasan masa 14.7 saat masih belum dipecahkan mana-mana pelajar di Sekolah Tinggi Kajang.Beliau juga pernah mewakili Selangor dalam beberapa kejohanan sukan berikutan pencapaian cemerlang dalam bidang sukan.“Ketika di sekolah rendah, saya mendapat pendidikan dan perhatian penuh daripada nenek yang sering melatih membaca, meskipun terpaksa bertemankan api pelita minyak tanah setiap malam.“Boleh dikatakan saya mula berdikari sejak berusia tiga tahun dan terpilih untuk menginap di asrama penuh ketika melangkah ke tingkatan satu di Sekolah Tinggi Kajang,” katanya yang kini berbangga kerana pengalaman perniagaannya kini dicurahkan sedikit sebanyak kepada empat anaknya yang dewasa.

Anak sulungnya, Mohd Heerman, diberi tanggungjawab membantu menguruskan perniagaan Ideal Healthcare dengan bertindak sebagai Pengurus Pemasaran dan Jualan, manakala Mohd Heerwan, pula memikul tugas menguruskan perniagaan Tiara Cookies & Candies Supply.Anak perempuannya, Nur Hazirah, pula menerajui syarikat baru dinamakan De`Tiara Collection yang memasarkan pakaian dan kosmetik dengan jenama De`Tiara, manakala Nur Hazrina, masih menuntut.

Ditanya mengenai pegangan dan prinsip hidupnya, beliau berkata, apabila mahu membuat sesuatu ia perlu bersungguh-sungguh dan penuh perhatian.“Bila kita tahu buat, kita harus lakukan dalam saiz skala yang besar, tetapi pada masa sama harus bijak mengawal kos operasi dengan berusaha mengurangkan tahap pinjaman kepada bank,” katanya yang kini boleh berbangga kerana dapat membuktikan usahawan Bumiputera mampu berjaya dalam bidang yang ketika ini masih dikuasai syarikat asing dari luar negara.

PROFIL

NAMA:

Dr Haminnuddin Abd Hamid

JAWATAN:
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap
Pengarah Urusan Ideal Healthcare Group of Companies

- Ideal Healthcare Sdn. Bhd.
- Ideal Healthcare Manufacturing Sdn. Bhd.
- Mutiara Medical Enterprise
- CV Harizka Indonesia
- De`Tiara Collection
- Tiara Cookies & Canddies

LAHIR:
26 Oktober 1953 di Kajang, Selangor

PENDIDIKAN:
Sekolah Tinggi Kajang; Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan, PhD Pengurusan Perniagaan (Industri Getah dan Plastik) dari University Rustington/Sussex, United Kingdom

No comments: